Lahad Datu, 13 Okt: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) memperkukuh kawalan keselamatan dengan menerapkan elemen AI.
Elemen itu dipergunakan dalam pelaksanaan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjos, berkata ESSCOM telah memohon peruntukan berjumlah RM42.9 juta bagi melaksanakan lapan projek utama yang dijangka bermula pada tahun depan.
“Dalam RMK13 Rolling Plan Pertama, ESSCOM memohon peruntukan sebanyak RM42,936,160.00 yang melibatkan lapan projek penting.
Kita berdoa agar semua permohonan diperakui untuk memulakan perolehan pada tahun hadapan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan bulanan ESSCOM Siri 2 Tahun 2025 di sini, hari ini.
Antara projek yang dimohon termasuk:
Perolehan senjata bantuan (RM2.54 juta), Peralatan menyelam skuba taktikal (RM3.39 juta), Kenderaan pelbagai guna ESSCOM Mobile (RM850,000), Peralatan khas pasukan ESSCOM (RM686,650),
Pembinaan 96 unit kuarters ESSCOM (RM44 juta), Pembinaan Wisma ESSCOM (RM23 juta),
Sistem dron taktikal (RM2.5 juta), Sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) (RM9.96 juta).
Datuk Victor berkata, ESSCOM turut memberi tumpuan kepada penggunaan AI sebagai medium pengawasan strategik bagi memperkukuh aspek keselamatan dan mengimbangi kekurangan sumber manusia di lapangan.
“Kehadiran AI membantu memperkasakan pengawasan menggunakan teknologi, menjimatkan masa dalam proses analisis dan memberi impak besar kepada pencapaian ESSCOM,” katanya.
Beliau menjelaskan, beberapa projek berasaskan AI akan dilaksanakan termasuk pemasangan kamera jarak jauh di Indrasabah dan Pulau Banggi, naik taraf ESSCOM Fusion Centre (EFC), pembinaan Tactical Floating Barge di Pulau Banggi, Kudat dan Pulau Sebatik serta perolehan sistem Fiber Optic Border Management di Pulau Sebatik.
Victor turut mengingatkan semua bahagian yang dilantik sebagai penaja projek supaya menyediakan Concept of Operation (CONOP), spesifikasi aset serta keperluan penyelenggaraan selepas tamat tempoh jaminan bagi memastikan jangka hayat aset tahan lama dan efisien.
“Saya mahu semua ketua staf bahagian memberi keutamaan terhadap perkara ini supaya setiap perolehan dapat dimanfaatkan secara optimum dan menyumbang kepada keselamatan Sabah Timur,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berasaskan teknologi ini selaras dengan inspirasi “KDN for AI dan AI for KDN” yang digariskan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam memperkasakan keselamatan negara melalui pendekatan digital.
TAMAT
