DUA MAUT, SEORANG CEDERA PARAH DALAM KEMALANGAN TIGA MOTOSIKAL DI LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

26 JULAI 2025

LAHAD DATU: Dua lelaki warga asing maut manakala seorang lagi parah dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 90, Jalan Lahad Datu-Tungku (FELDA Sahabat 10), malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP H. Dzullbaharin Haji Ismail, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam apabila sebuah motosikal Yamaha yang ditunggang seorang remaja lelaki berumur 12 tahun bersama pembonceng berumur 20 tahun dari arah Embara Budi menuju ke arah Cenderawasih bertembung dengan sebuah lagi motosikal Honda yang ditunggang lelaki berumur 19 tahun dari arah bertentangan.

Sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja berumur 18 tahun turut terbabit dalam insiden tersebut.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga motosikal bertembung secara berhadapan sehingga menyebabkan beberapa mangsa tercampak ke bahu jalan,” katanya.

Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 12 tahun dan penunggang berumur 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pembonceng motosikal berumur 20 tahun pula patah paha kiri dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Tungku.

Sementara itu, penunggang motosikal sebuah lagi berumur 18 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dihantar pulang oleh orang awam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis meminta mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Humaidi Bin Harun di talian 089-881255 atau terus ke IPD Lahad Datu.

TAMAT

Share This Article