LAHAD DATU, 26 JULAI – Suasana perkarangan Masjid Ar-Raudah, Lahad Datu bergema syahdu dengan alunan selawat ke atas Nabi SAW apabila lebih 6,000 umat Islam berhimpun menjayakan Program Semarak Dakwah Peringkat Daerah Lahad Datu malam tadi (sabtu).
Program Semarak Dakwah Bersama Ustaz Dr H. Das’ad Latif itu merupakan anjuran Masjid Ar-Raudah Lahad Datu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu.
Menerusi ceramahnya, Ustaz Das’ad Latif mengingatkan para jemaah supaya sentiasa memperbetulkan niat ketika menghadiri majlis ilmu iaitu niat semata-mata kerana Allah SWT di samping mengamalkan segala ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
Antara mesej dan nasihat penting yang disampaikan beliau termasuk Bermuhasabah dan Mengingati Hari Pembalasan,Menjauhi Amalan Riba dan Tanggungjawab Mendidik Anak.
Sehubungan itu Umat Islam diseru agar sentiasa memelihara solat, memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW serta memulakan dan mengakhiri doa dengan selawat.
Mengakhiri ceramahnya, Ustaz Ar Sad Latif menegaskan amanat terakhir Rasulullah SAW agar umat Islam sentiasa menjaga solat, berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah, memelihara akidah tauhid serta berlaku baik kepada insan di bawah tanggungjawab masing-masing.
Kehadiran ribuan jemaah turut mencerminkan kesungguhan masyarakat Islam di Lahad Datu dalam mengimarahkan masjid serta menuntut ilmu agama.
Turut hadir di program Semarak Dakwah peringkat Daerah itu ialah Datuk Seri Anil Sandhu Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, SAC Nasri Mansor, Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM, Datuk Haji Abdul Hakim Ghulam Hassan, Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA); serta dan barisan pemimpin masyarakat dan pegawai agama daerah.
