ANGGOTA PPM LAHAD DATU CEDERA TERKENA TEMBAKAN KETIKA BERTUGAS

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 27 OGOS — Seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di Pos Pengawal Marin, Lahad Datu kelmarin.

Dalam kejadian itu mangsa yang berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan perut selepas terkena tembakan ketika seorang rakan setugas mengosongkan senjata api di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata mangsa menerima rawatan awal di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan serta pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 25 Ogos 2026.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga mencederakan mana-mana orang.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar.

Share This Article