SANDAKAN, 24 Feb — Majlis Amanat dan Penyerahan Tugas Ketua Konservator Hutan Sabah berlangsung dengan penuh tertib di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah di sini pagi tadi.
Lebih 200 pegawai dari seluruh negeri.
Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan Nota Serah Tugas daripada Datuk Frederick Kugan kepada Tuan Zulkifli Suara yang secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai Ketua Konservator Hutan Sabah yang baharu.
Penyerahan itu menandakan peralihan kepimpinan yang tersusun dan profesional selaras dengan amalan tadbir urus terbaik dalam perkhidmatan awam.
Dalam amanat terakhirnya, Frederick merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan atas sokongan, kerjasama serta komitmen sepanjang enam tahun beliau menerajui jabatan berkenaan.
Beliau menegaskan kejayaan dan pencapaian yang diraih adalah hasil usaha kolektif semua peringkat termasuk petugas lapangan yang menjadi tunjang pengurusan sumber hutan negeri.
Sementara itu dalam amanat sulungnya Zulkifli menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan dan menyeru semua warga jabatan untuk terus komited dalam memperkukuh pengurusan hutan secara lestari serta mempertingkat tadbir urus jabatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Frederick atas khidmat bakti selama 39 tahun dalam Jabatan Perhutanan Sabah serta sumbangan besar beliau dalam memacu kecemerlangan sektor perhutanan negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis tersebut mencerminkan kesinambungan kepimpinan serta komitmen berterusan Jabatan Perhutanan Sabah dalam memastikan khazanah hutan negeri diurus secara mampan demi kepentingan generasi akan datang.
Lebih 200 pegawai dari seluruh negeri.
TAMAT
