Pengiktirafan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera, satu pencapaian penting

KOTA KINABALU (30 SEPTEMBER): Pengiktirafan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO membuktikan komitmen kerajaan terhadap memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata Jemaah Menteri Negeri Sabah telah meluluskan hasrat untuk mencalonkan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera pada 30 Mac 2022, dan dokumen pencalonan tersebut telah diluluskan pada 7 Ogos 2024.

Pengiktirafan berprestij itu diumumkan semasa Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program Man and the Biosphere (MAB) (ICC) yang diadakan pada 27 September di Hangzhou, China.

Ketua Menteri turut berkata bahawa dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian dunia dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama global.

“Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuhkan usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan,” katanya di sini hari ini.

Proses pemilihan selama dua tahun itu diketuai oleh Pusat Biodiversiti Sabah dengan kerjasama pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak industri serta komuniti tempatan.

Dengan pengiktirafan ini, Kinabatangan kini menjadi Rizab Biosfera kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker, dan yang keempat di Malaysia. UNESCO secara rasmi mengiktiraf Rizab Biosfera Banjaran Crocker pada 12 Jun 2014.

Sehingga kini, terdapat 759 Rizab Biosfera di 136 negara di seluruh funia.

Rizab Biosfera Kinabatangan meliputi kawasan seluas 413,866 hektar dan merupakan khazanah semula jadi yang kaya dengan biodiversiti unik serta warisan budaya yang tidak ternilai.

Meregang sejauh 560 kilometer di sepanjang Sungai Kinabatangan, kawasan ini menjadi habitat penting bagi 315 spesies burung, 100 spesies reptilia, 33 spesies amfibia, 127 spesies mamalia, dan lebih daripada 1,000 spesies tumbuhan vaskular.

Kawasan itu juga merupakan habitat bagi beberapa spesies endemik, jarang ditemui dan terancam seperti orang utan (Pongo pygmaeus), gajah Borneo (Elephas maximus borneensis), monyet probosis (Nasalis larvatus), beruang matahari (Helarctos malayanus), harimau dahan (Neofelis diardi), serta lapan spesies burung enggang yang asli Sabah.

Menariknya, pengiktirafan Rizab Biosfera Kinabatangan turut menyokong usaha pemeliharaan dialek Sungai, yang kini disenaraikan sebagai Sangat Terancam dalam Atlas Bahasa Dunia yang Terancam UNESCO.

Tamat