DATUK DITAHAN SPRM SABAH KERANA TERIMA RASUAH RM6,000 BAGI DAPATKAN DARJAH KEBESARAN PAHANG

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 21 Julai 2025 – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini kerana dipercayai menerima rasuah berjumlah RM6,000 bagi membantu seorang lelaki mendapatkan darjah kebesaran dari negeri Pahang.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek pada tahun 2023 telah menawarkan kepada pengadu untuk mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk dari negeri Pahang, sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa atau kelayakan untuk berbuat demikian.

“Suspek juga dipercayai secara tidak jujur telah mendorong pengadu memindahkan wang berjumlah RM6,000 kononnya bagi pembelian aksesori pakaian istiadat sebagai syarat penganugerahan gelaran tersebut,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Menurutnya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan selepas membayar deposit tunai RM5,000 daripada jumlah keseluruhan wang jaminan sebanyak RM10,000 yang ditetapkan.

“Suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

TAMAT

Share This Article