Ranau, 6 FEB-Seorang pendaki lelaki berusia 33 tahun berdepan detik cemas apabila mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika mendaki Gunung Kinabalu, awal pagi tadi.
Pasukan Mountain and Cave Search and Rescue (MOCSAR) menerima panggilan kecemasan daripada seorang pemandu arah pada jam 9.41 pagi melalui talian balai memaklumkan seorang pendaki memerlukan bantuan di KM 1, Gunung Kinabalu.
Susulan itu seramai enam anggota MOCSAR bersama lima petugas Sabah Parks digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 9.50 pagi, dengan jarak satu kilometer dari titik panggilan.
Menurut Komander Operasi, PBB Hafiz Soinin, mangsa yang merupakan warganegara Malaysia didapati mengalami simptom sakit dada dan sesak nafas sebelum pasukan bertindak menurunkannya menggunakan stretcher dari lokasi kejadian ke Timpohon Gate.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Sabah Parks sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Sabah Parks untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi menyelamat berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.14 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Sementara itu, Ketua Balai BBP Ranau, PPgB Rantey Fred, menasihatkan semua pendaki agar sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik sebelum melakukan pendakian khususnya di laluan mencabar seperti Gunung Kinabalu.
TAMAT
