KOTA KINABALU (13 OKTOBER): Parti Gagasan Rakyat Sabah (OGRS) Sukau tidak terkesan dan tidak tergugat dengan tindakan timbalan ketua bahagian meninggalkan parti itu.
Ketua Pemuda Gagasan Sukau Badrul Hisham Juhari berkata tindakan itu sebaliknya terus memperkukuhkan parti tersebut.
“Gagasan Sukau terus utuh dengan tindakan Datuk Saddi Abdul Rahman dan beberapa penyokongnya meninggalkan Gagasan.
“Segala tindakan itu jelas menunjukkan perjuangan mereka bukan untuk rakyat, tetapi untuk kepentingan peribadi dan kuasa yang sudah hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Badrul berkata tindakan Saddi itu memperlihatkan sikap sebenar kepada rakyat.
Menurutnya rekod mencatatkan Saddi telah melompat beberapa kali sebelum ini.
Daripada Umno, katanya, melompat ke Warisan kemudian bebas, kemudian menyertai Gagasan dan kini kembali menyertai Warisan.
“Bagi kami, tindakan itu sebenarnya memperlihatkan wajah sebenar mereka sebelum gelanggang PRN17 bermula,” katanya.
Beliau menegaskan Pemuda Gagasan Sukau berdiri teguh di belakang Ketua Bahagian Gagasan Sukau dan calon tunggal GRS bagi DUB Sukau, Datuk Juhari Janan.
Katanya, Pemuda telah memperkukuh jentera di setiap peringkat dan bersiap siaga menghadapi siapa sahaja lawan pada PRN nanti.
Tamat
