ENAM TERTUDUH DISEMPORNA MENGAKU BERSALAH, DIHUKUM PENJARA

sabahheadlines
2 Min Read

SEMPORNA, 6 Feb : Enam individu mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan jenayah berasingan di Mahkamah Majistret Semporna, hari ini, sebelum dijatuhi hukuman penjara mengikut kesalahan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, pengakuan bersalah itu dibuat di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Menurutnya, Al Karim Tusman dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah menceroboh rumah di Kampung Bubul Lama pada 23 Disember lalu.

Bagi kes berasingan, Mohammad Rafie Amil Salleh turut dihukum penjara 12 bulan kerana mencuri tujuh gelen petrol di stor Sagittarius Resort, Pulau Bum-Bum pada 13 Januari lalu.

Sementara itu, Raimi Pagot dipenjara 12 bulan selepas mengaku memiliki harta curi iaitu 14 kilogram udang di Kolam Udang Sungai Buaya pada 12 Januari lalu dan turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas Ali Mohd Salleh kerana mengugut ibu kandungnya di sebuah rumah di Kampung Panji pada 12 Januari lalu.

Dalam kes berkaitan rokok tidak bercukai, Mhidzfar Masud Akbara dipenjara dua bulan kerana memiliki 12 karton dan 30 kotak rokok pelbagai jenama tanpa cukai di Jalan Tun Mustapha pada 16 Januari lalu, selain dirujuk kepada JIM.

Tarmizi Abdu pula dijatuhi hukuman penjara satu bulan selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap individu lain di tepi jalan Kampung Simunul pada 25 Disember lalu dan turut dirujuk kepada pihak imigresen.

Tan berkata, semua kes dikendalikan oleh pihak pendakwaan diketuai Insp Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Beliau menegaskan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah itu terpelihara.

TAMAT

Share This Article