KOTA KINABALU, 11 Dis — Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan menegaskan sokongan partinya terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah keputusan berasaskan kehendak majoriti pimpinan STAR serta demi memastikan kestabilan politik negeri.
Menurutnya, kerajaan perpaduan yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, memerlukan sokongan tambahan selepas GRS tidak memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“GRS mencadangkan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik, dan itu juga kehendak STAR. Pilihan raya sudah selesai—kini masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Jeffrey menegaskan sokongan tersebut tidak mengubah pendirian STAR dalam memperjuangkan hak Sabah, sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang. Beliau turut menekankan bahawa pelantikan ADUN STAR, Ishak Ayub, sebagai pembantu menteri tidak mengubah kedudukannya yang kekal berada di blok pembangkang.
Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata: “Kita bukan duduk dalam GRS. Kita bantu GRS tubuh kerajaan perpaduan demi kestabilan politik selepas PRU17, kerana itulah yang rakyat mahukan berdasarkan keputusan pilihan raya.”
TAMAT
