LAHAD DATU, 15 OGOS – Aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan dan pencerobohan kawasan larangan berjaya dikesan dalam Operasi Bersepadu MARDOF Sabah Siri 5/2026 dengan 211 vesel nelayan tempatan (VNT) diperiksa dan dua daripadanya ditahan bermula 4 hingga 14 Ogos masing-masing di perairan Lahad Datu dan Kunak.
Operasi yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu bersama Jabatan Perikanan (DOF) Lahad Datu turut membawa kepada rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM206,000.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, operasi bersepadu selama tujuh hari di laut itu memberi tumpuan kepada pematuhan syarat lesen vesel, pengesahan identiti tekong dan kru serta penggunaan peralatan menangkap ikan yang dibenarkan.
Menurutnya daripada 211 VNT yang diperiksa, seramai 90 individu diperiksa terdiri daripada 58 warga tempatan dan 32 warga asing.
“Daripada jumlah tersebut, dua buah VNT ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 di perairan Lahad Datu dan Kunak,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan yang dikesan membabitkan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, selain menjalankan aktiviti penangkapan ikan pada jarak kurang daripada dua batu nautika dari pulau terhampir.
Operasi MARDOF Sabah Siri 5/2026 dilaksanakan secara berfasa merangkumi fasa pengenalan, operasi di laut, operasi di daratan serta sesi debrief dengan penglibatan 30 pegawai dan anggota daripada Maritim Malaysia Zon Lahad Datu dan Jabatan Perikanan Lahad Datu.
Komander Maritim Dzulfikhar berkata, operasi bersepadu itu membuktikan komitmen berterusan kedua-dua agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, membanteras kegiatan penangkapan ikan secara haram serta memastikan kelestarian sumber perikanan negara terus terpelihara.
Dalam pada itu, orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
