KOTA KINABALU (8 NOVEMBER): Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, hari ini mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Keputusan itu dibuat susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang didakwa mengabaikan semangat pembentukan Persekutuan Malaysia dan hak Sabah dalam isu pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah.
Dalam kenyataan rasminya, Ewon berkata beliau mengambil keputusan itu selepas meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Celestina Stuel Galid, berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) terhadap kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan kewajipan di bawah Perkara 112C dan Subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Pendirian AGC yang dinyatakan dalam penghakiman bertulis itu mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia dan syarat persetujuan Sabah untuk menyertai Malaysia. Saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan tersebut,” katanya.
Ewon menjelaskan bahawa beliau berpegang teguh kepada prinsip UPKO yang berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dokumen asas perlembagaan seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, dan Akta Malaysia, yang memperuntukkan hak Sabah dalam struktur Persekutuan.
“Sangat janggal untuk saya kekal dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC sebegitu, yang jelas bertentangan dengan perjuangan saya sebagai Presiden UPKO. Saya kekal berpendapat bahawa AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan rundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus itu,” tambahnya.
Ewon turut mengingatkan bahawa beliau pernah memfailkan Saman Pemula (OS) terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022 mengenai hak 40 peratus, sebelum menarik balik saman itu pada September 2023 bagi memberi ruang kepada perundingan.
Beliau menegaskan bahawa keputusan meletak jawatan ini dibuat berasaskan prinsip perjuangan UPKO, dan akan segera mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan keputusannya.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas ruang kebersamaan dalam Kabinet yang memberi peluang untuk memperjuangkan hak Sabah. Namun, saya perlu berpegang pada prinsip perjuangan parti,” katanya lagi.
Ewon turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO akan diadakan pada Isnin depan, bagi membincangkan hala tuju agenda “Sabah First” sebagai asas perjuangan masa depan parti itu.
Tamat
