Dadah Syabu Lebih Sekilogram Dirampas, Warga Asing Ditahan di Tawau

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 3 Jan 2026 – Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis syabu seberat lebih satu kilogram dalam satu operasi khas di hadapan sebuah pusat penyimpanan sejuk beku di Jalan Chong Thien Vun, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil maklumat risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau menjalankan pemantauan selama hampir 15 minit sebelum menahan kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi satu paket plastik berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 1,009.47 gram dan dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

ACP Jasmin berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan warga Indonesia dan berperanan sebagai penghantar dadah atau runner.

“Suspek mengaku dadah berkenaan adalah miliknya dan mendakwa dibayar upah puluhan juta rupiah untuk membawa bekalan tersebut ke negara jiran yang dipercayai menuju ke Indonesia,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barangan kemas yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.

Beliau berkata, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Polis sedang meneruskan risikan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terlibat di daerah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja merosakkan masa depan individu, malah mengancam keselamatan serta keharmonian masyarakat.

Orang awam juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan pengedaran dadah di kawasan masing-masing.

Share This Article