Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 5 Okt – Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Silam tidak tergugat dengan tindakan beberapa parti yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini.
Ketua bahagiannya Datuk Mizma Appehdullah berkata, PGRS kekal teguh menyokong kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor dan percaya gabungan itu akan terus menjadi pilihan rakyat berasaskan kestabilan serta keutuhan kerjasama politik yang dibina selama ini.
Menurutnya, tindakan mana-mana parti meninggalkan gabungan itu tidak akan menjejaskan semangat perjuangan PGRS kerana fokus utama kini adalah memperkukuh perpaduan dan memperjuangkan kepentingan rakyat di akar umbi.
“Kami di PGRS DUN Silam tidak berasa tergugat langsung dengan mana-mana parti yang mengambil keputusan keluar daripada GRS.
“Pendirian kami jelas dan kukuh untuk terus bersama kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor kerana kami percaya GRS mampu meneruskan kestabilan dan kemajuan Sabah,” katanya.
Mizma berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program anjuran Universiti Malaysia Sabah ( UMS) yang berlangsung di PPR Taman Seri Sapagaya (Payang) di sini pada ahad.
Katanya, keutuhan GRS bergantung kepada kesetiaan dan kejujuran parti komponen dalam memperjuangkan agenda rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sebenar GRS bukan terletak pada jumlah parti komponen nya tetapi pada keikhlasan dan kesepakatan untuk membangunkan Sabah secara bersama di bawah kepimpinan Hajiji.
Terdahulu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada GRS dan berhasrat bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
TAMAT
