12 PATI FILIPINA DITAHAN DALAM OPERASI IMIGRESEN DI KUDAT

sabahheadlines
1 Min Read

KUDAT, 4 Okt 2025 (Sabtu) – Tindakan tegas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah membuahkan hasil apabila seramai 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina berjaya ditahan dalam satu operasi khas di sekitar daerah Matunggong, Kudat pada rabu lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi yang dilaksanakan pada 1 Oktober 2025 itu membabitkan 13 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kudat.

Katanya, seramai 39 individu diperiksa dan 12 orang PATI yang ditahan merupakan warga Filipina kerana melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua individu yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

Malah masyarakat digesa terus menyalurkan maklumat mengenai kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tindakan tegas akan diambil demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” tegas beliau.

TAMAT

Share This Article