KEMAJUAN LEBUH RAYA LAHAD DATU MASIH RENDAH

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syamilah Salleh

LAHAD DATU:24 Jun -Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mendedahkan bahawa kemajuan fizikal semasa bagi projek pembinaan Pakej 20 Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Lahad Datu kini berada pada tahap hanya 1.6 peratus.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan sesi taklimat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lahad Datu di tapak projek terbabit hari ini.

Menurut beliau, meskipun kemajuan tersebut masih dalam lingkungan jadual asal kontrak, pencapaian berkenaan dianggap rendah memandangkan Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan sejak hampir lapan bulan lalu.

“Walaupun secara teknikal projek masih mengikut jadual, pencapaian 1.6 peratus selepas lapan bulan adalah rendah,” katanya.

Shahelmey berkata, antara punca utama kelewatan itu ialah berkaitan proses penilaian tanah serta penempatan semula rumah-rumah yang terlibat di sepanjang jajaran projek.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kontraktor agar segera memulakan kerja-kerja fizikal di kawasan yang tidak terjejas oleh isu pengambilan tanah, tanpa menunggu penyelesaian keseluruhan masalah terbabit.

“Saya difahamkan terdapat lebih satu kilometer jajaran yang telah dimulakan kerja-kerja pembersihan dan pembentukan. Bahagian ini perlu dimanfaatkan untuk mempercepat kemajuan keseluruhan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan semua pihak berkepentingan termasuk JKR, kontraktor utama dan unit penyelaras projek agar mengenal pasti awal sebarang isu berpotensi menjejaskan kelangsungan projek supaya tindakan mitigasi dapat diambil segera.

Dalam masa sama, Shahelmey memberi peringatan tegas berhubung aspek keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan.

Katanya, penyelenggaraan jalan sedia ada yang masih digunakan awam perlu diberi keutamaan, termasuk pelaksanaan sistem pengurusan trafik yang berkesan bagi menjamin keselamatan dan kelancaran pergerakan.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar serta memperkukuh jaringan pengangkutan di negeri ini, khususnya di Pantai Timur Sabah.

TAMAT

Share This Article