TAWAU, 26 JULAI- Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tawau kekal seramai 362 orang daripada 102 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat jam 8 malam ini.
Berdasarkan Infografik Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, hanya sebuah PPS masih beroperasi iaitu Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau yang mula dibuka pada 25 Julai lalu bagi menempatkan mangsa terjejas.
Daripada keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS seramai 115 lelaki dewasa/warga emas, 130 wanita dewasa/warga emas, lima kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan, enam bayi lelaki dan seorang bayi perempuan direkodkan.
JPBN Sabah turut memaklumkan sehingga kini tiada kematian dilaporkan akibat bencana banjir selain tiada penduduk direkodkan terperangkap atau berada di luar PPS.
Sementara itu statistik harian menunjukkan jumlah mangsa meningkat daripada 335 orang kepada 362 orang manakala jumlah KIR turut bertambah daripada 96 kepada 102 KIR pada hari ini.
Pihak berkuasa akan terus memantau perkembangan banjir di Tawau dan menyalurkan bantuan kepada semua mangsa yang ditempatkan di PPS sehingga keadaan kembali pulih.
