SANDAKAN, 25 JULAI — Kerajaan memperkenalkan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) sebagai gerakan nasional baharu bagi memperkukuh budaya membeli dan menggunakan produk serta perkhidmatan tempatan sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan daya saing usahawan Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu bukan sekadar penjenamaan semula kempen terdahulu sebaliknya merupakan transformasi menyeluruh yang dirangka untuk meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan keluaran tempatan.
Menurut beliau, JOM MALAYSIA ialah evolusi kepada Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan sejak 1984, dengan pendekatan lebih komprehensif serta selaras dengan keperluan semasa.
Katanya, transformasi itu dipacu oleh empat teras utama iaitu menjadikan JOM MALAYSIA sebagai gerakan nasional, melaksanakan pendekatan melibatkan seluruh negara, memperluaskan penyertaan pelbagai kategori produk dan perkhidmatan tempatan serta membuka lebih banyak peluang pasaran di dalam dan luar negara.
“Usaha ini bukan sekadar pertukaran nama atau penampilan baharu. Apa yang ingin dilaksanakan ialah perubahan menyeluruh yang berasaskan empat teras utama bagi memastikan produk tempatan terus mendapat tempat dalam pasaran,” katanya ketika berucap pada Festival JOM MALAYSIA di Kompleks Sukan Sandakan, pada sabtu.
Armizan berkata, inisiatif itu turut membawa aspirasi memupuk semangat patriotisme ekonomi dalam kalangan rakyat dengan menggalakkan mereka mengutamakan pembelian produk dan penggunaan perkhidmatan tempatan.
Menurutnya, skop kempen berkenaan tidak lagi tertumpu kepada sektor makanan dan minuman semata-mata sebaliknya meliputi pelbagai kategori produk dan perkhidmatan yang diusahakan syarikat tempatan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, kejayaan JOM MALAYSIA memerlukan sokongan dan penglibatan semua pihak termasuk sektor swasta, pemain industri, PMKS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat bagi memastikan gerakan itu benar-benar memberi impak kepada ekonomi negara.
“Walaupun sasaran utama adalah menggalakkan rakyat Malaysia membeli produk tempatan sebagai manifestasi patriotisme ekonomi, kerajaan juga mahu menjadikan gerakan ini sebagai pemangkin untuk memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Festival JOM MALAYSIA yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai di Kompleks Sukan Sandakan menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan bersama pemain industri serta rakan strategik daripada pelbagai sektor.
Festival berkenaan menyediakan platform bagi aktiviti promosi, jualan dan padanan perniagaan, selain menampilkan reruai PMKS, pameran pelbagai agensi kerajaan, Program Jualan RAHMAH MADANI serta pelbagai pengisian berbentuk hiburan dan sukan rakyat bagi menarik penyertaan masyarakat.
Penganjuran festival itu diharap dapat meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan menyokong produk dan perkhidmatan tempatan, sekali gus memperkukuh daya saing usahawan Malaysia di pasaran domestik dan antarabangsa.
