KOTA KINABALU, 14 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melancarkan Op Selamat 25 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.
Majlis pelancaran operasi itu berlangsung di Jalan Tuaran Bypass, berhadapan KFC Kampung Darau, Menggatal, dan disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah, SAC Datuk Mohd Azhar Hamin.
Program anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), IPK Sabah itu turut disertai Ketua JSPT Sabah, Supt Rosdi Mat Jusoh, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, selain wakil daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pengedaran risalah keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah kepada pengguna, selain pemeriksaan bersepadu melibatkan pemeriksaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh JPJ serta pemeriksaan kualiti udara oleh JAS.
Menariknya, Op Selamat 25 kali ini turut memperkenalkan pendekatan baharu apabila beberapa syarikat bas dibekalkan video kesedaran keselamatan dan pencegahan jenayah untuk ditayangkan kepada penumpang, bagi meningkatkan tahap kewaspadaan khususnya dalam kalangan pengguna pengangkutan awam.
Dalam pada itu, PDRM Sabah menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengutamakan keselamatan dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang cuti perayaan.
TAMAT
