KOTA KINABALU, 20 Feb — Jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 406 penduduk daripada 124 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang hari ini.
Menurut laporan harian yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, dua daerah terjejas iaitu Kota Marudu dan Pitas melibatkan keseluruhan 24 kampung yang terkesan akibat bencana banjir.
Di Kota Marudu, seramai 290 mangsa daripada 90 KIR ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 2 manakala beberapa PPS lain seperti Sekolah Kebangsaan Taritipan masih dalam proses pendaftaran.
Sementara itu di Pitas seramai 116 mangsa daripada 34 KIR dipindahkan ke beberapa PPS termasuk Sekolah Kebangsaan Rukom dan Dewan Majlis Daerah, dengan jumlah mangsa dilaporkan meningkat dari semasa ke semasa.
Laporan itu turut memaklumkan bahawa tiada kematian direkodkan setakat ini dan tiada penduduk dilaporkan terperangkap di luar PPS.
Pusat Kawalan Bencana Negeri terus memantau situasi dan menyelaras bantuan kepada mangsa terjejas termasuk pengurusan pemindahan serta keperluan asas di PPS.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berisiko supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan keselamatan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
TAMAT
