PPM SEMPORNA TUMPAS CUBAAN SELUDUP SYABU RM70,000

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA: 29 Ogos- Usaha berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah membuahkan hasil apabila dua lelaki warga asing ditahan bersama syabu bernilai RM70,000 dalam serbuan di Kampung Halo, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan jam 6.40 petang itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan ke atas sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemukan syabu seberat 1,019.93 gram. Kedua-dua suspek berusia 46 hingga 58 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, PPM sentiasa komited melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah selain mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

TAMAT

Share This Article