40 Gelen Petrol Tanpa Permit- ‘Runner Minyak’ Dicekup di Perairan Tawau

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 4 Feb – Taktik membawa bahan api dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak di perairan Tawau, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik sebelum berjaya dipintas kira-kira 0.8 batu nautika di utara Muara Sungai Aji Kuning.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun itu membawa 40 gelen petrol yang dianggarkan berjumlah 1,200 liter serta tiga tong gas LPG berisi dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit sah.

“Juragan bot juga gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bot, enjin dan semua muatan telah dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM46,000.

Ariffin turut menjelaskan, modus operandi membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang merupakan antara taktik sindiket penyeludupan yang sering digunakan dan perlu dibanteras secara berterusan.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa khususnya di perairan Tawau yang sering menjadi laluan rentas sempadan,” katanya.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah di laut dan akan memastikan aset rondaan sentiasa bersedia bagi membanteras kegiatan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Share This Article