SANDAKAN, 20 Februari — Pasukan bomba menjalankan operasi pemantauan susulan kejadian banjir di kawasan Taman Merpati Batu 7 awal pagi tadi namun tiada pemindahan mangsa diperlukan selepas paras air didapati berada dalam keadaan terkawal.
Menurut laporan operasi, Bilik Kawalan Balai Bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.52 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan tiba di lokasi kira-kira jam 5.03 pagi, melibatkan jarak perjalanan sejauh 10 kilometer.
Operasi diketuai PBK I Alan Ayuh bersama lapan anggota yang digerakkan menggunakan sebuah jentera FRT dan sebuah lori Handalan.
Hasil pemantauan mendapati tiada mangsa terjejas dan tiada operasi pemindahan dijalankan.
Pasukan bomba turut memberi nasihat kepada penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada serta berpindah lebih awal ke kawasan selamat sekiranya paras air meningkat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.43 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
TAMAT
