SANDAKAN: Seramai lebih 121 orang kanak-kanak menyertai Majlis Berkhatan Beramai-ramai yang berlangsung di Masjid Nurul Rahman, Taman Mawar, di sini pagi tadi.
Program tahunan itu dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Batu Sapi sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan masyarakat khususnya bersempena cuti akhir persekolahan.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi, Tuan Ajak Hj Sadikal yang mewakili Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan atas kehadiran serta sokongan dalam menjayakan program berkenaan selain memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang majlis berlangsung.
Selain itu penghargaan turut dizahirkan kepada pihak pengurusan Masjid Nurul Rahman atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menyediakan kemudahan serta lokasi bagi penganjuran majlis tersebut.
Program berkhatan beramai-ramai itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa malah menjadi sebahagian daripada tuntutan syariat Islam serta usaha memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
TAMAT

