TAMBUNAN-20 Dis Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan penduduk Kampung Kuyungon dalam melaksanakan pelbagai program komuniti berteraskan pembangunan lestari.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program kemasyarakatan bersama penduduk kampung berkenaan yang mempamerkan penglibatan aktif komuniti setempat dalam bidang pertanian, pelancongan komuniti, pemuliharaan hutan, pengurusan kawasan tadahan air serta penghasilan kraftangan.
Menurut Jamawi, pelaksanaan konsep “Kebun Dapur” yang diperkenalkan di kampung itu sejak tiga tahun lalu wajar dijadikan contoh kepada kampung lain kerana berupaya menyumbang kepada aspek keselamatan makanan serta meningkatkan pendapatan penduduk.
“Pendekatan berasaskan komuniti yang diamalkan di Kampung Kuyungon membuktikan penglibatan rakyat di peringkat akar umbi mampu menjayakan agenda pembangunan luar bandar secara bersepadu dan mampan,” katanya.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Panglima Jeffrey G. Kitingan, Pegawai Daerah Tambunan serta wakil jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.
Jamawi turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan program berkenaan yang disifatkannya sebagai contoh terbaik semangat kerjasama dan perpaduan komuniti.
TAMAT
