sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU: 22 Jun – Usaha memperkasa agenda dakwah terus digerakkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) menerusi pelbagai program strategik sepanjang Bulan Dakwah yang bakal berlangsung selama tiga bulan bermula dari Maal Hijrah sehingga Maulidur Rasul.
Yang Dipertua USIA Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, berkata antara program utama ialah Wacana Pemikir yang mengambil inspirasi daripada pengorbanan agung Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar sebagai teladan penting dalam membentuk jati diri generasi masa depan.
“Alhamdulillah, hari ini kita bersama dalam program Wacana Pemikir yang menyelami kisah pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim sebagai model peranan kepada generasi akan datang.
“Ini sebahagian usaha kita memperkasa dakwah di bawah inisiatif USIA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Wacana Pemikir anjuran USIA dengan kerjasama Jawatankuasa Badan Dakwah Daerah Lahad Datu USIA bahagian Lahad Datu.
Katanya, Bulan Dakwah itu akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai di Sabah International Convention Centre (SICC) dan dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk JHEAINS, MUIS, JAKIM dan NGO berkaitan.
Menariknya, pelancaran Wacana Pemikir kali ini akan mengangkat pemikiran dakwah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, melalui karya seni, lagu dan filem, yang akan dihuraikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang dalam satu sesi khas bertajuk “Bardisya”.
Selain itu, pelbagai program besar turut dirancang antaranya,Konvensyen Dakwah dan NGO,Asian Youth Leadership Summit,Kembara Maulidur Rasul dan Tahsin Ibadah.
Program dakwah rentas zon seluruh Sabah dan ke negeri jiran, Sarawak, yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri serta disertai Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Jelas Sapawi, pelaksanaan semua inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pelan Strategik USIA 2.0, yang memperkukuh peranan bahagian dakwah sebagai pemacu utama ke arah pemantapan syiar Islam di Borneo.
“Kita mahu gerakan dakwah ini digerakkan secara proaktif, seiring dengan matlamat asal penubuhan USIA. Maka, medan dakwah ini kita jadikan sebagai ruang utama membangunkan ummah melalui pendekatan kreatif, strategik dan bersifat inklusif,” tambah beliau.
Sementara itu Ketua USIA Bahagian Lahad Datu, Datu Mazlan Bin Datu Ibrahim dalam ucapan alu aluannya menzahirkan penghargaan kepada USIA Pusat kerana memilih Lahad Datu sebagai lokasi pertama penganjuran Program Wacana Pemikir tahun ini.
Katanya, penganjuran program tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, khususnya dalam memperkukuh kefahaman terhadap nilai pengorbanan dalam Islam.
Program seperti ini katanya sangat signifikan dalam mendidik dan membentuk minda masyarakat agar mencontohi semangat pengorbanan sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S dan Siti Hajar.
Program Wacana Pemikir: “Menyingkap Pola Fikir Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S dan Siti Hajar Dalam Konteks Pengorbanan” itu turut menampilkan dua ahli panel terkemuka iaitu Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Timbalan Yang Dipertua MUIS dan Prof. Dr. Hajah Araiah Bahron, Ketua SALWA, WADAH Negeri Sabah.
Program ini merupakan antara inisiatif USIA untuk memperkasakan pemikiran umat Islam melalui wacana ilmiah dan perkongsian tokoh-tokoh berpengalaman.
TAMAT
