TAWAU, 20 Disember 2025 — Seorang pengawal keselamatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes keganasan rumah tangga melibatkan isterinya di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa yang merupakan seorang suri rumah berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan pada lengan dan kaki akibat dipukul suaminya susulan pertengkaran dan salah faham.
Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak menahan suspek.
“Suspek merupakan seorang lelaki warga asing berusia kira-kira 45 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang di Bukit Quoin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
TAMAT
