LORI TRAILER MUATAN TONG GAS LPG TERBABAS DI KUNAK PEMANDU CEDERA RINGAN

sabahheadlines
2 Min Read

KUNAK, 20 Januari 2026 – Sebuah lori trailer yang membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG) terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Ladang Bugis, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.15 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, PBK I Rosman bin Gari, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.30 pagi dan mendapati sebuah lori trailer yang membawa muatan tong gas LPG telah terbabas.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori berusia 46 tahun yang telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

Mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pasukan bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja keselamatan dengan mengalihkan tong-tong gas LPG serta memastikan tiada kebocoran atau bahaya lain di lokasi kejadian. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 pagi setelah keadaan disahkan selamat.

Operasi tersebut melibatkan seramai enam anggota BBP Kunak dengan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, selain dibantu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

TAMAT

Share This Article