POLIS KELUARKAN 28 SAMAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA BELUD, 25 Jan – Sebanyak tiga puluh kenderaan diperiksa dan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Saman itu dikeluarkan oleh polis dalam operasi bersepadu di jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abau dan Batu Gadung pada 24-25 Januari lalu.

Operasi itu bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta mengekang gangguan ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, operasi berkenaan melibatkan kerjasama beberapa cawangan termasuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Balai Polis Kota Belud serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), membabitkan seorang pegawai kanan dan 10 pegawai rendah polis.

Menurutnya, operasi dijalankan di sekitar Jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abai dan Batu Gadung susulan aduan orang awam, selain sebagai langkah pencegahan terhadap perlakuan berbahaya di jalan raya.

“Hasil pemeriksaan mendapati 43 individu dan 30 kenderaan diperiksa, dengan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, ketiadaan nombor pendaftaran serta pengubahsuaian ekzos. Sebuah motosikal turut disita bagi siasatan lanjut,” katanya.

Beliau menegaskan, operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala sebagai usaha proaktif polis dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengingatkan pengguna agar sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas demi keselamatan bersama.

TAMAT

Share This Article