KPDN SEMPORNA RAMPAS 1,520 LITER PETROL DISYAKI DISELEWENG

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 13 MEI- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna terus mempergiat usaha membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu di daerah ini.

Dalam operasi terbaharu, KPDN menerima serahan kes rampasan tanpa tuan daripada Polis Diraja Malaysia IPD Semporna membabitkan 1,520 liter minyak petrol yang dipercayai cuba diseleweng di kawasan jambatan Kampung Air, di sini.

Rampasan itu melibatkan 56 gelen putih mengandungi 1,400 liter petrol serta empat gelen biru berisi 120 liter petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,600.

Susulan rampasan berkenaan, KPDN Semporna membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

KPDN turut memberi amaran tegas kepada individu atau syarikat supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang bersubsidi.

Menurut kementerian itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan meningkat sehingga RM5 juta untuk kesalahan berikutnya jika sabit kesalahan.

Share This Article