RM2.17 BILION UNTUK 39 PROJEK STRATEGIK SANDAKAN DI BAWAH RMK13 – MUSTAPHA SAKMUD

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 12 MEI – Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM2.17 bilion bagi melaksanakan 39 projek pembangunan strategik di Sandakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 (RP1) sebagai usaha memperkukuh pembangunan Sabah secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak RM213.32 juta diperuntukkan bagi tahun 2026 untuk membiayai projek melibatkan pelbagai sektor strategik termasuk infrastruktur jalan raya, bekalan air, pendidikan, keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, daripada 39 projek yang dikenal pasti, sebanyak 26 projek kini berada dalam fasa pelaksanaan manakala 12 projek memasuki fasa pasca pelaksanaan dan satu projek telah siap sepenuhnya.

“Perkembangan ini menunjukkan tahap kemajuan pelaksanaan yang memberangsangkan selain membuktikan penyelarasan yang baik antara kementerian, agensi pelaksana dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dihadiri Presiden MPS Datuk Walter Kenson,ADUN Sungai Manila Datuk Haji Hazem Mubarak bin Musa dan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.

Menurut Mustapha, antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan Jalan Semawang ke Tanjung Kuala Gum-Gum yang dijangka meningkatkan jaringan perhubungan dan mobiliti rakyat di kawasan berkenaan.

Katanya, projek lain turut diberi perhatian ialah Loji Rawatan Kumbahan Sandakan bagi memperkukuh sistem sanitasi bandar selain pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan Jeti Mawilla 2 untuk meningkatkan aspek keselamatan serta pertahanan.

“Kerajaan turut melaksanakan penaiktarafan sistem bekalan air Sandakan bagi memastikan penduduk menikmati akses bekalan air yang lebih stabil dan mampan,” katanya.

Mustapha berkata, majoriti projek direkodkan mengikut jadual pelaksanaan yang ditetapkan sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memenuhi keperluan pembangunan Sabah melalui pelaksanaan dan peruntukan yang nyata.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan setiap projek dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan, telus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat selaras aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan seimbang, kesejahteraan rakyat serta pengukuhan ekonomi wilayah.

Share This Article