Sandakan, 26 Februari – Dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Zon Maritim Sandakan dalam operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan, semalam, atas kesalahan menunda pukat tanpa mematuhi syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
Vesel pertama dikendalikan oleh empat nelayan warganegara Indonesia, manakala vesel kedua melibatkan seorang nelayan tempatan, seorang warganegara Indonesia dan seorang warganegara Filipina. Kesemua mereka berusia antara 24 hingga 52 tahun.
Kesemua yang ditahan, bersama dua vesel dan tiga tan hasil tangkapan laut bernilai kira-kira RM312,000, dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut digalakkan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan.
Oleh : Jalie mohamad
