KENINGAU, 5 APRIL— Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun berdepan detik cemas apabila kakinya tersekat di celah struktur besi pemegang tangga dan dinding simen di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Anggerik, Jalan Tenom, petang sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bergegas ke lokasi sejauh kira-kira 4.3 kilometer dan tiba pada jam 3.57 petang bagi menjalankan operasi menyelamat.
Penyelia Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Norhasrita Abd Manan berkata, mangsa dipercayai sedang bermain di kawasan tangga sebelum kakinya tersangkut pada celah sempit antara besi dan struktur konkrit.
“Pasukan bomba mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit tanpa menyebabkan kecederaan lebih serius,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi menyelamat dilakukan dengan menggunakan teknik pelinciran bagi memudahkan kaki mangsa dikeluarkan daripada ruang sempit tersebut.Mangsa berjaya diselamatkan selepas kira-kira 30 minit operasi dijalankan.
Pasukan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian menjalankan pemeriksaan awal dan mendapati mangsa hanya mengalami kecederaan ringan seperti calar dan lebam.
“Mangsa dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah unit EMRS.
Sementara itu pihak bomba menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak khususnya ketika bermain di kawasan berisiko seperti tangga atau struktur binaan.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menggunakan kemudahan awam bagi tujuan yang boleh mendatangkan bahaya demi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
