KOTA BELUD, 14 Januari — Seorang lelaki berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang sejak 12 Januari lalu ditemui meninggal dunia di Sungai Lebak Engad, kira-kira dua kilometer dari Kampung Siasai Tamu, di sini, petang tadi.
Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 3.16 petang bagi memohon bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dipercayai hilang di kawasan berhampiran sungai Kampung Siasai Tamu.
Menurut maklumat, mangsa yang beralamat di Kampung Siasai Dundau, Kota Belud dilaporkan keluar dari rumah pada jam 6 pagi 12 Januari lalu untuk ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan ubat namun tidak pulang ke rumah sehingga kini.
Mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat oleh saksi sekitar jam 5 petang dan pada hari kejadian mangsa dipercayai menuju ke arah sungai untuk menyeberang
Kampung Siasai Dundau, iaitu alamat mangsa yang terletak bersebelahan sungai di Kampung Siasai Tamu.
Mangsa juga dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan mental sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud serta memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Ketika kejadian, mangsa dilaporkan memakai baju T-shirt berwarna biru turquoise.
Seramai 12 anggota BBP Kota Belud dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai, diketuai Komander Operasi, PBK I Hasmaddy Agum dengan dibantu Komander Operasi Kanan, PPgB Elge Bakuk selaku Ketua Balai BBP Kota Belud. Operasi turut melibatkan kerjasama PDRM.
Pasukan bomba memulakan operasi pencarian menggunakan Bot YaPIEM berikutan keadaan sungai yang cetek.
Hasil operasi, mangsa berjaya ditemui di Sungai Lebak Engad sebelum dibawa ke tebing.
PDRM kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang.
TAMAT
