KOTA KINABALU, 26 FEBRUARI – Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan penambahan dana kontingensi bagi memperkukuh keupayaan menangani bencana alam, terutama banjir yang berulang di beberapa daerah di Sabah.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata peruntukan tambahan itu perlu disediakan secara lebih proaktif agar agensi berkaitan dapat menyalurkan bantuan dengan segera tanpa terikat kepada proses kelulusan yang memakan masa.
Beliau mengemukakan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan melibatkan Kementerian Kewangan Malaysia di Dewan Rakyat.
Menurutnya, situasi banjir terbaharu menunjukkan keperluan mendesak terhadap perancangan kewangan yang lebih anjal.
Pada awal minggu ini Pitas, Kota Marudu, Paitan dan Beluran dilaporkan terjejas teruk dengan lebih 10,000 penduduk menerima kesan manakala lebih 5,000 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Keadaan bertambah serius apabila lima lagi daerah iaitu Sipitang, Beaufort, Sook, Tenom dan Membakut turut diisytiharkan sebagai kawasan bencana.
Matbali berkata ketika beliau berucap di Parlimen, beberapa laluan utama di kawasan Parlimen Sipitang masih dinaiki air.
Katanya, kejadian banjir di kawasan itu bukan lagi luar biasa sebaliknya menjadi fenomena berulang hampir setiap tahun malah berlaku beberapa kali dalam tempoh setahun.
Beliau menekankan bahawa pendekatan jangka panjang termasuk penyediaan dana kecemasan yang lebih kukuh dan perancangan mitigasi yang sistematik perlu diberi perhatian serius bagi mengurangkan beban rakyat serta meminimumkan kerugian akibat bencana.
TAMAT
