KOTA BELUD, 6 Okt – Dua pelancong warga China dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani dekat sini, selepas dipercayai tidak keluar dari pulau berkenaan sejak dua hari lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kota Belud pada jam 9.25 pagi Isnin memaklumkan kejadian berkenaan.
Menurut laporan awal, kedua-dua mangsa seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun dilaporkan menginap di sebuah resort terkemuka pada 4 Oktober 2025 dan sepatutnya mendaftar keluar keesokan harinya.
“Bagaimanapun sehingga kini mereka masih belum keluar dari pulau berkenaan dan gagal dikesan.
Barang-barang peribadi milik kedua-dua mangsa juga masih berada di dalam bilik penginapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 20 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi bersama beberapa agensi lain.
Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Mohd Razali Ahmad @ Awang Ahmad dengan PBT II Thomas Bolu sebagai Komander Operasi.
Pasukan penyelamat menjalankan pencarian menggunakan kaedah “Water Surface” di sekitar pesisir Pulau Mantanani.
Operasi pada hari pertama ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula pada keesokan hari.
Setakat ini kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan dengan bantuan pelbagai agensi penyelamat.
TAMAT
