sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU: Sabah Timur bukan sahaja kaya dengan keindahan alam dan budaya malah suatu destinasi yang aman serta selamat untuk dinikmati oleh semua orang.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos, berkata, keamanan dan kedaulatan yang dikecapi di negeri ini membuka peluang untuk pelancong merasai sendiri keindahan serta khazanah Sabah Timur.
“Sabah Timur adalah tempat di mana pengunjung boleh menilai kedamaian dan keharmonian secara terus ..bukan hanya melalui cerita atau media sosial.
“Kita mahu mereka datang sebagai pelancong dan mungkin pada masa akan datang mereka datang sebagai pelabur,” katanya kepada media petang tadi
Beliau menekankan bahawa penduduk tempatan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan kebahagiaan negeri ini .
Sekaligus menjadi mata, telinga dan lidah kepada kerajaan serta rakan antarabangsa.
“Marilah semua datang ke Sabah Timur untuk melihat sendiri keindahan ..merasai nikmat kebahagiaan dan merasai pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya sambil mengalu-alukan pelawat dari seluruh dunia.
Mengenai program Kembara Merdeka tahun ini, Victor berkata Dataran ESSCOM merupakan pertama kali digunakan sebagai lokasi persinggahan konvoi Kembara merdeka dan pihaknya berbesar hati menerima kunjungan rombongan konvoi pada tahun ini.
Victor turut menyampaikan salam Hari Merdeka dan salam Hari Sabah yang bakal disambut tidak lama lagi sambil menzahirkan harapan agar program berjalan lancar, aman dan meriah.
Terdahulu, beliau melancarkan perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 peringkat daerah Lahad Datu di Dataran ESSCOM yang turut dihadiri Pengarah Japen Sabah, Jainisah Mohd Noor.
Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 melibatkan 75 lokasi singgahan di seluruh Sabah termasuk kampung, kawasan pinggir bandar dan pulau-pulau.
Tema Hari Kebangsaan tahun ini Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni Itu disertai lebih 15 agensi termasuk pasukan beruniform membabitkan 20 buah kenderaan di setiap destinasi.
Tahun ini juga merupakan kali kedua Sabah meraikan sambutan berganda iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos kemudian disusuli dengan Hari Malaysia pada 16 September depan.
TAMAT
