LAHAD DATU, 22 Okt –Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan kediaman lebih selesa, selamat dan berkualiti kepada rakyat luar bandar.
Di Parlimen Lahad Datu, sebanyak 40 unit rumah baharu dan 168 unit rumah baik pulih telah disalurkan menerusi agensi pelaksana Giat MARA Sabah termasuk pelaksanaan Program Selanggara Elektrik Rumah Impian (SERI) yang turut memberi latihan kemahiran kepada pelatih Giat MARA di lokasi sebenar.
Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu, Sharif Musa bin Sharif Mabul, berkata pelaksanaan projek ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.
“Rakyat di kawasan Lahad Datu yang menerima bantuan rumah PPRS amat bersyukur dan berterima kasih atas inisiatif KKDW dalam menyediakan kediaman lebih selesa dan selamat.
“Kami menghargai kerjasama erat antara penerima bantuan pihak Giat MARA, KKDW dan para pemimpin tempatan yang membantu menjayakan pelaksanaan projek ini,” katanya kepada media selepas lawatan kerja dan penyerahan kunci rumah PPRS di Kampung Teluk Suaion, Kampung Sapagaya dan Kampung Bukit Belacon, Segama, pagi tadi.
Menurut beliau, pelaksanaan PPRS dan SERI bukan sekadar membina rumah tetapi turut memberi nilai tambah melalui latihan kemahiran kepada pelatih tempatan.
Sharif Musa berkata, perbincangan juga telah dijalankan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melalui agensi pelaksana Giat MARA bagi memastikan semua projek dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
“Walaubagaimanapun, pelaksanaan projek PPRS masih bergantung kepada status tanah yang terlibat.
Usaha sedang dijalankan untuk penyelarasan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan tanah yang digunakan mempunyai status pemilikan yang sah sebelum projek dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Program ini juga dijangka memberi impak positif terhadap kesejahteraan penduduk luar bandar serta memperkukuh agenda pembangunan komuniti di bawah teras Malaysia MADANI.
Hadir sama Pegawai Tugas Khas kepada Menteri KKDW, Datuk Maizatul Akmam Ahmad Alawi dan Pengarah Giat MARA Sabah, Azizudin A. Aziz.
TAMAT
