BEAUFORT, 10 MAC – Keselamatan penguatkuasa tempatan wajar dipertingkatkan.
Ahli Majis Dearah Beaufort, Haji Mohd Jali Nordin berkata, keselamatan itu harus merangkumi ketika mereka bertugas dan juga selepas bertugas.
“Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan kita harus malah wajar memastikan keselamatan mereka,” katanya di sini hari ini.
Mohd Jali berkata demikian ketika diminta mengulas insiden seorang pengkuasa Majlis Perbandaran Sandakan yang diserang oleh sekumpulan penjual rokok haram di Sandakan minggu lalu.
Beliau berkata, penguatkuasa seringkali terdedah dengan isu keselamatan sama ada sewaktu bertugas mahupun selepas bertugas.
“Keselamatan mereka harus kita utamakan kerana mungkin mereka menjadi sasaran dendam,” katanya.
Menurut, insiden penguatkuasa diserang dan dipukul bukan perkara baharu dan sudah lama berlaku.
Katanya, insiden itu mungkin jarang-jarang berlaku “tetapi ia tidak boleh dibiarkan.”
Mohd Jali juga berkata, tindakan yang lebih tegas perlu diambil ke atas penjual rokok haram.
“Kita perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka … usaha untuk membendung mereka perlu dipertingkatkan,” katanya lagi.
TAMAT
