LAHAD DATU, 6 DIS — Bersempena kempen Melawat Malaysia 2026 “Truly Asia” Seri Borneo melancarkan Mystical Bayu 2025 bagi mengetengahkan pelancongan holistik yang menghimpunkan influencer, media serta rakan strategik bagi mengangkat Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan utama di Sabah.
Pengarah Urusan Seri Borneo, Puan Mariati Binti Uttoh, berkata program Mystical Bayu 2025 yang bertemakan “Discover Lahad Datu” bermula 5 hingga 7 Disember di Segama Village Stay Itu membawa penyertaan terdiri daripada barisan influencer popular termasuk Saiful Zero @ Melati, Sakinah, Edwan Abo, Qahirah dan Saiful Maun.
Sementara itu turut hadir Puan Anita Misuari CEO KRA4 Tour and Travel selaku rakan strategik manakala Tourism Malaysia bertindak sebagai penaja utama.
“Kami menjemput influencer, media dan TikToker terkenal kerana yakin platform serta jumlah pengikut mereka mampu membantu menaikkan industri pelancongan Lahad Datu.
“Saya juga yakin Sakinah dengan pengaruh besar di media sosial akan memberi impak positif dalam mempromosikan daerah ini,” katanya.
Puan Mariati turut merakamkan penghargaan kepada Saiful Zero @ Melati atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Katanya seramai 30 peserta yang terdiri daripada content creator dan media mengikuti program tiga hari ini untuk merasai sendiri pengalaman pelancongan menyeluruh merangkumi Segama, Silam dan bandar Lahad Datu.
Para peserta diberi peluang meneroka keunikan alam semula jadi serta warisan budaya setempat termasuk makanan tradisi dan produk komuniti.
“Lahad Datu sangat terkenal dengan aspek ‘nature’ namun elemen budaya atau ‘culture’ masih kurang mendapat perhatian. Melalui program ini, kami mahu menggabungkan kedua-duanya di bawah satu platform baharu bagi memperkenalkan identiti pelancongan yang lebih menyeluruh,” jelasnya.
Program ini turut menerima sokongan pemain industri dari Pantai Barat Sabah termasuk Kudat, Kota Belud dan Sipitang, yang hadir bagi bersama mempromosikan Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan terbaik dan seterusnya memperkukuh jaringan kerjasama industri.
Mariati yakin inisiatif ini mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa pada masa akan datang.
“Acara ini adalah pembuka tirai. Lahad Datu selamat untuk dikunjungi dan layak dilawati sebagai destinasi pelancongan yang unik, kaya alam semula jadi dan berpotensi besar,” katanya.
TAMAT
