Kerajaan Perkukuh Usaha Pastikan Bekalan Bahan Api Sabah Kekal Stabil

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 24 Mac – Kerajaan terus mempergiat langkah proaktif bagi menjamin kestabilan bekalan bahan api di Sabah, khususnya petrol dan diesel, susulan kebimbangan kemungkinan berlakunya gangguan bekalan yang boleh menjejaskan pengguna serta aktiviti ekonomi negeri.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Dalam pertemuan tersebut, Armizan memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan melalui kementeriannya sentiasa memantau rapi situasi bekalan bahan api di Sabah bagi memastikan ia kekal mencukupi dan tidak terjejas.

Menurut beliau, penyelarasan berterusan bersama agensi berkaitan akan diperkukuh bagi mengelakkan sebarang risiko kekurangan bekalan, terutama di kawasan luar bandar serta sektor kritikal yang bergantung kepada penggunaan bahan api.

Sementara itu, Hajiji menegaskan bahawa kestabilan bekalan bahan api amat penting dalam menyokong kelangsungan ekonomi negeri, khususnya dalam sektor logistik, perikanan dan pertanian yang memerlukan penggunaan diesel secara berterusan.

Beliau turut menekankan keperluan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan sebarang isu berkaitan bekalan dapat ditangani secara berkesan dan pantas.

TAMAT

Share This Article