BOT TUNDA LANGGAR SYARAT LESEN DITAHAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN TAWAU

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 19 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot tunda tempatan kerana melanggar syarat sah lesen dalam satu pemeriksaan di perairan Tawau, malam tadi.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Pluto Timur, Op Sejahtera dan Op Tiris mengesan serta memeriksa bot tunda berkenaan pada kira-kira jam 8.30 malam.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda itu berada pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika selatan Kampung Muhibbah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau bot tersebut dikendalikan oleh seorang juragan lelaki warga Indonesia berusia 55 tahun bersama dua kru lelaki, masing-masing berumur 53 dan 54 tahun, juga warga Indonesia.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati juragan dan kru tidak disenaraikan dalam daftar nama lesen, tidak memiliki sijil kompetensi selain gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak berkuasa.

Susulan itu lesen bot tunda berkenaan ditahan dan juragan bersama kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen.

Norihan menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana komuniti maritim yang gagal mematuhi undang-undang walaupun melibatkan kesalahan yang dianggap kecil.

“Pemilik dan pengendali bot dinasihatkan supaya sentiasa peka serta mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan mengoptimumkan operasi bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah di perairan Tawau diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

TAMAT

Share This Article