SIPITANG, 25 Mac — Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang menganjurkan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dewan IPD Sipitang, petang semalam.
Majlis yang diadakan dari jam 4 hingga 5 petang itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Polis (DSP) Ismail Abdullah.
Turut hadir ialah pegawai kanan polis, anggota, pegawai awam, wakil Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) serta jemputan khas termasuk Polis Bantuan SAMUR.
Antara atur cara yang disusun sepanjang majlis ialah nyanyian lagu rasmi, bacaan doa, penyampaian amanat serta perutusan Ketua Polis Negara, diikuti penyampaian sijil penghargaan kepada anggota terpilih. Majlis turut diserikan dengan lafaz ikrar taat setia dan nyanyian lagu “Polis Sedia Berkhidmat”.
Penganjuran sambutan berkenaan bertujuan mengenang jasa serta pengorbanan warga Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, selain menghargai sumbangan anggota serta rakan strategik yang menyokong peranan pasukan keselamatan itu.
Keseluruhan majlis berlangsung dalam suasana tertib dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
TAMAT
