Sokongan Penuh Terhadap Cadangan Penstrukturan Semula Bahagian Parti

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,17 Mac – PGRS Bahagian Api-Api dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penstrukturan semula bahagian parti, yang bertujuan memperkukuhkan struktur organisasi serta meningkatkan kecekapan pentadbiran parti di semua peringkat.

Cadangan untuk menyusun semula bahagian daripada 73 bahagian kepada 25 bahagian dilihat sebagai satu langkah strategik yang mampu memperkemas penyelarasan kepimpinan, memperkukuhkan organisasi parti serta meningkatkan keberkesanan gerak kerja di peringkat akar umbi.

Langkah ini juga diyakini dapat mewujudkan satu struktur yang lebih tersusun, dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat serta cabaran landskap politik masa kini.

Sehubungan dengan itu, PGRS Bahagian Api-Api memaklumkan bahawa Bahagian Api-Api yang merangkumi kawasan Kota Kinabalu telah mengadakan Mesyuarat Bahagian serta Majlis Berbuka Puasa pada petang Isnin, 16 Mac 2026, yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Hj. Faisyal Diego, Ketua Bahagian PGRS Api-Api.

Dalam mesyuarat tersebut, semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian sebulat suara bersetuju dan menyokong cadangan penstrukturan semula bahagian parti ini sebagai satu langkah yang tepat demi memperkukuhkan lagi organisasi parti.

Pada masa yang sama, PGRS Bahagian Api-Api ingin merakamkan sokongan dan keyakinan penuh terhadap kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang terus memimpin negeri Sabah dengan komitmen tinggi terhadap kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Di bawah kepimpinan beliau, Sabah terus bergerak ke arah kemajuan yang lebih mampan melalui pendekatan pentadbiran yang inklusif, stabil dan berorientasikan masa depan.

Sehubungan itu, PGRS Bahagian Api-Api berdiri teguh menyokong sepenuhnya usaha penstrukturan semula ini serta komited untuk terus bersama kepimpinan parti dalam memperkukuhkan perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Sabah.

TAMAT

Share This Article