SEMBILAN PESALAH DADAH DIHUKUM PENJARA OLEH MAHKAMAH MAJISTRET SEMPORNA

sabahheadlines
2 Min Read

Semporna, 28 Jan – Mahkamah Majistret Semporna menjatuhkan hukuman penjara terhadap sembilan individu selepas mereka didapati bersalah memiliki dadah berbahaya dalam beberapa kes berasingan sekitar daerah ini.

Kesemua tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama. Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas mengambil kira pengakuan salah, fakta kes, rekod kesalahan serta kepentingan awam.

Antara hukuman yang dikenakan termasuk penjara antara enam hingga 17 bulan, dengan beberapa tertuduh turut diarahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman. Kesemua kes melibatkan pemilikan dadah jenis syabu dengan berat antara 0.07 gram hingga 5.20 gram, hasil tangkapan polis sepanjang tempoh September hingga Disember 2025 di beberapa lokasi sekitar Semporna.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata keputusan mahkamah itu mencerminkan ketegasan pihak berkuasa dalam mengekang penyalahgunaan dadah yang menjadi ancaman serius kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah dadah.

Orang ramai digesa menjauhi dadah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah melalui saluran rasmi polis, termasuk balai polis berhampiran dan aplikasi aduan awam.

TAMAT

Share This Article