PAPAR, 3 Jan 2026 – Sebuah bengkel kenderaan jenis kekal di Kampung Kuala Lorong 12, di sini terbakar kira-kira 50 peratus dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 6.03 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 6.13 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel berkeluasan kira-kira 80 x 100 kaki.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Imamat bin Tawarid berkata, kebakaran turut melibatkan beberapa kenderaan dan motosikal yang berada di dalam bengkel berkenaan.
“Empat buah kenderaan dan empat buah motosikal terjejas dalam kejadian ini. Sebuah kenderaan jenis Nissan Cefiro terbakar kira-kira 50 peratus manakala tiga lagi kenderaan iaitu Chevrolet Colorado, Mitsubishi Triton dan Perodua Myvi masing-masing terkena bahangan haba sekitar empat peratus,” katanya.
Menurut beliau, empat motosikal turut terbakar iaitu dua buah Yamaha LC dan sebuah Kawasaki Ninja yang musnah sepenuhnya manakala sebuah Kawasaki RR terbakar kira-kira 90 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera bomba serta pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.42 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 7.16 pagi selepas memastikan keadaan selamat,” katanya.
Seramai 10 anggota BBP Papar terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
TAMAT
