KOTA KINABALU, 3 APRIL – Kerajaan Sabah meneroka langkah memperluas akses rawatan kardiovaskular di negeri ini melalui cadangan penubuhan cawangan Institut Jantung Negara (IJN) dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang antara lain memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kemudahan kesihatan khususnya rawatan jantung untuk rakyat di Sabah.
Turut hadir dalam perbincangan tersebut Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Sebagai langkah awal, satu Memorandum Persefahaman (MoU) dijadual dimeterai pada 6 April ini di Kota Kinabalu antara Yayasan Sabah dan IJN bagi merealisasikan cadangan berkenaan.
Inisiatif itu dilihat berpotensi mengurangkan kebergantungan pesakit dari Sabah untuk mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur sekali gus meringankan beban kos perjalanan serta logistik yang ditanggung pesakit dan keluarga.
Cadangan penubuhan fasiliti berkenaan juga diharap dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini selain mempercepat akses kepada rawatan pakar dalam bidang kardiologi.
Dalam masa sama, penglibatan Yayasan Sabah dalam sektor kesihatan dilihat sebagai langkah strategik memperluas peranannya yang sebelum ini lebih tertumpu kepada pembangunan pendidikan dan sosial.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan rakan strategik dalam memperkasa kesejahteraan rakyat melalui penambahbaikan kemudahan kesihatan yang lebih inklusif dan mampan.
