SPR Tetapkan 24 Januari 2026 Hari Mengundi PRK Kinabatangan, Lamag

sabahheadlines
2 Min Read

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Januari 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, keputusan itu dibuat susulan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Menurut beliau, hari penamaan calon ditetapkan pada 10 Januari 2026 manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari 2026.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon pada 10 Januari sehingga jam 11.59 malam, 23 Januari 2026,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR, di sini, hari ini.

SPR turut memaklumkan bahawa permohonan undi pos bagi semua kategori akan dibuka mulai 16 Disember 2025 dan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui Portal SPR.

Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A melibatkan petugas SPR, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta petugas media ditetapkan pada 8 Januari 2026.

Bagi Kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta Kategori 1C melibatkan agensi atau organisasi tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 6 Januari 2026.

Dalam perkembangan sama Ramlan berkata, seramai 1,106 petugas pilihan raya akan dilantik bagi mengendalikan PRK berkenaan.

Ia melibatkan 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran mengundi selain satu pusat mengundi awal.

TAMAT

Share This Article