DUA BERADIK DITEMUI LEMAS, OPERASI SAR DI KOTA BELUD TAMAT

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA BELUD, 17 MEI– Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa lemas di Sungai Polumpung, Melangkap Baru di sini, berakhir hari ini selepas kedua-dua mangsa berjaya ditemukan dalam operasi hari kedua.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Zul Hakim bin Abdullah 23, dan adiknya, Daniel bin Abdullah, 18, disahkan meninggal dunia.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan diterima melalui talian NG999 pada jam 9.26 pagi semalam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak di Melangkap Home Stay Polumpung View Camp Site, kira-kira 30 kilometer dari balai.

Pasukan bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Suffian Aban tiba di lokasi pada jam 10.01 pagi dan mendapati benar terdapat dua mangsa dipercayai lemas di sungai berkenaan.

Operasi SAR hari pertama dijalankan di pesisir sungai menggunakan kaedah water surface searching.

Mangsa pertama berjaya ditemukan oleh pasukan bomba pada jam 10.18 pagi, kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa dalam radius pencarian sejauh tiga kilometer di sekitar lokasi kejadian.

Operasi SAR hari kedua bermula pada jam 8.50 pagi tadi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor.

Sektor A melibatkan pencarian menyelusuri sungai dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di Polumpung Melangkap hingga ke Sondot View Camp sejauh 3.4 kilometer.

Sektor B pula melibatkan pencarian dari kawasan SK Narinang hingga ke Sondot View Camp dengan jarak pencarian 5.2 kilometer.

Sementara itu Sektor C melibatkan NGO Team Rafting yang menjalankan pencarian menggunakan kaedah rafting dari lokasi kejadian hingga ke Pekan Taginambur.

Mangsa kedua akhirnya berjaya ditemukan oleh orang awam pada jam 12.04 tengah hari di Sektor A, kira-kira 200 meter dari lokasi tempat mandi.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.30 tengah hari untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 petang selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Operasi itu melibatkan 13 anggota BBP Kota Belud bersama bantuan daripada PDRM, KKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta NGO Team Rafting.

Share This Article